Penilaian Dinar Dirham Pada Wang Kertas

Kenapa pengeluar matawang syariah Dinar dirham menilaikan Dinar atau dirham pada wang kertas dan bukannya selain wang kertas? (Contoh:- 1 Dinar : RM 712 ; 1 dirham : RM 25.)

Dalam menjawab soalan ini, kita perlu memahami peranan pengeluar Dinar dirham sebagai entiti yang membolehkan penukaran wang kertas kepada matawang syariah. Fungsi kedua-dua wang kertas & matawang syariah sebagai bahan perantara pertukaran ("medium of exchange") membolehkan pertukaran ini berlaku dengan nisbah yang ditentukan secara efisien & praktikal. Namun perlu diperhatikan, walaupun fungsi kedua-duanya adalah sama, terdapat perbezaan dari segi hukumnya di sisi Islam antara wang kertas bersifat fiat dan matawang syariah.

Pengeluar Dinar dirham (contohnya KGT yang mengeluarkan Dinar & Dirham Kelantan) akan menyediakan Dinar dirham untuk dimiliki orang awam melalui pertukaran menggunakan wang kertas di mana (contohnya) 1 Dinar akan ditukarkan dengan RM 712. Disebalik penyediaan Dinar dirham tersebut, pengeluar perlulah melaksanakan pelbagai proses & langkah-langkah untuk menghasilkan Dinar dirham tersebut (secara langsung atau oleh pihak ketiga), antaranya pembelian bahan mentah dan pengilangan di mana aktiviti-aktiviti tersebut dibayar oleh wang kertas. Wang kertas yang digunakan untuk membuat pembayaran ini adalah berpunca sama-ada dari pelaburan ke dalam entiti pengeluar atau penerimaan wang kertas hasil penukaran Dinar dirham yang disediakan.

Oleh itu, secara rumusannya, kita dapat perhatikan bahawa peranan pengeluar Dinar dirham adalah untuk menukarkan wang kertas dari orang awam kepada Dinar dirham. Wang kertas yang diperolehi hasil pertukaran ini digunakan semula untuk menyediakan lebih Dinar dirham kepada masyarakat. Pengeluar Dinar dirham mempunyai peranan yang khusus ini dan lazimnya tidak terlibat dalam aktiviti-aktiviti lain seperti perniagaan bahan makanan, perkhidmatan buruh profesional, dan lain-lain. Oleh itu, dalam melaksanakan peranan pertukarannya, ia menilaikan Dinar dirham pada wang kertas dan bukan bahan/perkhidmatan lain.

Peranan ini dan penilaian yang digunakan akan terus-menerus digunapakai, secara idealnya sehingga masyarakat telah memperolehi matawang syariah yang mencukupi untuk membolehkan muamalat yang halal secara syumul dilaksanakan.

Perlu difahami bahawa emas & perak yang terdapat di dunia kini adalah terhad sumbernya. Pengeluar Dinar dirham akan berusaha sedaya upaya untuk menyediakan matawang syariah kepada masyarakat melalui peranannya sebagai penukar. Masyarakat pelu menyedari kepentingan menukarkan sebanyaknya wang kertas kepada Dinar dirham sebelum sumber emas & perak dihauskan. Ini adalah kerana wang kertas yang berlegaran di dunia tidak terkira batasannya dan di dalam nilaian yang ternyata kini (contoh 4.25g emas bersamaan RM 712 / 2.975g perak bersamaan RM 25), mustahil semua pemegang wang kertas akan mungkin dapat menukarkannya kepada emas atau perak yang nyata (bukan akaun emas/perak yang maya). Walaupun "harga" emas & perak akan melambung untuk memenuhi kemungkinan penukaran mutlak ini diimpikan seluruh dunia, kebanyakan wang kertas akan akhirnya tersadai dengan nilaian-nilaian yang tidak boleh lagi dizahirkan.

Oleh itu, peranan pengeluar Dinar dirham adalah sesuatu tugas yang penting dan sandaran nilaian pada wang kertas adalah sebahagian daripada strategi penukaran untuk kebaikan masyarakat.


Hasbullah bin Pit