عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ رَضِيَ الْلَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم لَا تَشْرَبُوا فِي آنِيَةِ الذَّهَبِ والْفِضَّةِ، وَلَا تَأْكُلُوا فِي صِحَافِهَا، فَإِنَّهَا لَهُمْ فِي الدُّنْيَا، وَلَكُمْ فِي الْآخِرَةِ - مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ .
Daripada Huzayfah bin al-Yaman katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Janganlah kamu minum dalam bekas emas dan perak dan janganlah makan dalam pinggan emas perak kerana sesungguhnya ia untuk mereka di dunia dan untuk kamu di akhirat. (al-Bukhari, no: 5426, Muslim, no: 2067)
عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ رَضِيَ الْلَّهُ عَنْهَا، قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ الْلَّهِ صلى الله عليه وسلم الَّذِي يَشْرَبُ فِي إِنَاءِ الْفِضَّةِ إِنَّمَا يُجَرْجِرُ فِي بَطْنِهِ نَارَ جَهَنَّمَ - مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.
Daripada Ummu Salamah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang yang minum dalam bekas perak sebenarnya memasukkan dalam perutnya api neraka jahannam. (al-Bukhari, no: 5634, Muslim, no: 2065)
Orang-orang yang tidak beriman menggunakan bekas emas dan perak di dunia kerana mereka tidak mempunyai agama yang melarang mereka dari menggunakannya. Hadis ini menunjukkan kepada keadaan mereka sahaja bukan menyatakan mereka diharuskan untuk mereka kerana mereka yang tidak beriman tidak berhak meni’mati segala ni’mat Allah dalam keadaan kekufuran mereka.
Hadis ini dengan terang melarang umat Islam dari menyerupai mereka. Oleh sebab itu, menggunakannya bererti menyerupai mereka dari segi menghalalkan apa yang haram. Sesiapa yang menyerupai satu kumpulan maka ia termasuk dari kalangan mereka. Penyerupaan yang paling besar ialah peniruan dari segi akidah, menghalalkan apa yang haram dan mengharamkan apa yang halal.
Umat Islam tidak perlu bimbang kerana penggunaan peralatan emas dan perak akan diperolehi di akhirat nanti. Ini sebagai ganjaran kerana menahan diri semasa di dunia manakala mereka yang tidak beriman akan dihalang di akhirat kerana maksiat yang mereka lakukan semasa di dunia.
Sebab lain ialah menggunakan bekas emas dan perak menjadikan seseorang takabbur dan sombong. Ini kerana penggunaan barangan mewah tanda seseorang membesarkan dirinya dan mengganggap dirinya lebih sehingga memilih untuk menggunakan apa yang tidak digunakan oleh orang lain.
Selain itu ia boleh menyebabkan orang miskin merasa sedih dan kecil hati kerana melihat betapa orang yang kaya itu menggunakan emas perak untuk kegunaan biasa. Padahal ia merupakan alat perhiasan yang menjadi kebanggaan oleh semua orang.
Ibn al-Qayyim berkata: “Sebab sebenar kepada pengharamannya ialah penggunaannya itu menyebabkan hati berada dalam keadaan bertentangan yang menafikan ubudiyyah kepada Allah.
Ada juga ulama yang berpendapat bahawa sebab kepada pengharaman tersebut ialah emas dan perak merupakan mata wang yang digunakan bagi menentukan nilai harga barang. Dengannya manusia dapat melakukan pertukaran bagi mendapatkan pelbagai barangan dan perkhidmatan yang diperlukan. Tambahan pula menggunakannya sebagai perkakas dapur menyebabkan ia berkurangan di pasaran.
Hadis ini juga mempunyai matlamat pendidikan akhlak iaitu Islam menjaga umatnya dari bersifat boros dan mencegah mereka dari hidup mewah secara melampau yang mana ia merupakan sebab kepada kebinasaan sesebuah tamadun.
وَإِذَا أَرَدْنَا أَنْ نُهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيرًا
Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya. (surah al-Isra`: 16)
Sumber : Muhammad Hanief Awang Yahaya