Soalan:
Apakah hukum membeli dan menyimpan jongkong emas Lady Fortuna?
Jawapan:
Sememangnya para ulama’ berselisih pandangan dalam masalah ini. Ini kerana mereka berbeza pandangan dalam memahami hadith RasuluLlah SAW yang zahirnya melarang lukisan.
Para fuqaha di dalam 3 mazhab utama iaitu mazhab Al-Imam Abu Hanifah, Al-Imam Al-Shafie dan Al-Imam Ahmad Ibnu Hanbal tidak membenarkan sama sekali seseorang individu melukis gambar objek-objek yang hidup daripada manusia dan binatang.
Para ulama’ di dalam tiga mazhab ini juga mengharamkan seseorang daripada mengukir patung-patung yang menyerupai manusia ataupun binatang.
Cuma di dalam mazhab Al-Imam Malik, para fuqaha mazhab ini (Al-Malikiyyah) berpandangan bahawa hukum melukis gambar yang sempurna bagi manusia dan haiwan adalah dibenarkan sekalipun hukumnya adalah makruh.
Ini bermakna sekiranya seseorang berniat untuk tidak melukis gambar manusia dan haiwan yang sempurna, maka dia akan mendapat pahala kerana meninggalkan perbuatan yang makruh.
Namun sekiranya dia tetap melukis gambar objek hidup secara sempurna, dia tidaklah berdosa tetapi dia tidak akan mendapat sebarang pahala.
Berdasarkan pernyataan di atas dirumuskan:
Melukis gambar objek yang hidup sama ada gambar manusia atau binatang adalah dibenarkan oleh para fuqaha dalam Mazhab Al-Imam Malik selagi mana gambar tersebut dalam bentuk lukisan atau ukiran. Walaubagaimanapun Al-Malikiyyah (ulama di dalam mazhab Al-Imam Malik) tetap menganggap melukis gambar manusia atau binatang adalah makruh sekiranya gambar objek bernyawa tersebut adalah sempurna.
Namun sekiranya kita ingin memegang pandangan yang mengharamkan sebarang lukisan yang menggambarkan objek manusia atau binatang, maka berdasarkan kaedah:
Keluar daripada titik perselisihan adalah disunatkan”
Maka tindakan ini adalah dialu-alukan. Ini kerana apabila kita tidak melukis gambar manusia atau binatang, kita tidak melakukan perbuatan yang haram sama sekali sama ada berdasarkan pandangan yang mengharamkan sebarang gambar manusia dan binatang atau pandangan Al-Malikiyyah yang membolehkan seseorang untuk melukis gambar manusia atau binatang.
Sebaiknya, elakkan dari memiliki wang syiling emas yang terdapat padanya sebarang gambar manusia atau haiwan bagi mengelakkan sebarang unsur khilaf kerana kita masih ada alternatif untuk memiliki wang emas yang lain.
Tambahan pula, Lady Fortuna adalah dewi kebaikan dan kejahatan pada pandangan masyarakat Greek. Terdapat unsur-unsur agama ciptaan manusia dalam matawang yang dihasilkan yang jika kita juga percaya kepada kehebatannya boleh menyebabkan berlakunya syirik jali atau syirik khafiy (syirik nyata atau tersembunyi).
Gambar dewi tersebut juga amat menjelekkan kerana tidak berpakaian menyebabkan kita secara tidak langsung ‘menggadaikan’ akhlak Islamiyah kalau memilikinya secara sengaja. Mungkin ini satu dakyah sesetengah pihak untuk meliberalkan pandangan umat Islam akhir zaman.
[Ustaz Mohammad Nazmi bin Mohsin - Ketua Panel Shari'ah, Jutawan Dua Logam