AMALAN MENABUNG DAN BERSEDEKAH DENGAN DINAR DAN DIRHAM

BERJIMAT-CERMAT sangatlah dituntut oleh Islam dan menjadi budaya orang bijaksana. Amalan berjimat-cermat berkait rapat dengan cara berbelanja yang dirancang teliti dan berhemat. Ia juga saling bersangkut-paut dengan sikap suka bersedekah kerana orang yang berjimat-cermat lagi berhemat mudah mendapat hidayah untuk berbelanja di jalan Allah.
Ia bagus dipraktikkan di peringkat kanak-kanak lagi. Didiklah mereka agar mengumpul baki wang saku lebihan dari belanja sekolah atau duit raya kemudian tukarkan wang syiling atau wang kertas itu kepada wang Dinar emas dan Dirham perak yang lebih menguntungkan berbanding menyimpan wang kertas di bank.
Hal inilah yang mahu ditekankan oleh Ahli Lembaga Pengarah KGT, Hajah Mumtaz Mohd Nawi dengan berkongsi cerita tentang anak-anak beliau yang enggan menerima wang kertas sebagai duit raya sebaliknya lebih rasa dihargai dan disayangi ketika menerima Dinar dan Dirham sebagai hadiah istimewa pada Hari Raya atau ulang tahun Hari Lahir setelah memahami tentang nilai wang yang sebenar.
Kongsi ilmu dengan anak-anak kita tentang nilai sebenar wang dengan kata-kata seperti “emas atau perak itu duit tapi duit bukan emas atau perak.” Berikan kepada mereka pencerahan mengenai duit Dinar emas dan duit Dirham perak seperti berikut:

a) Duit Dinar emas dan Dirham perak inilah yang digunakan oleh Rasululllah saw dan para sahabat.
b) Menjadi tanggung-jawab orang Islam mesti menyokong wang syariah dengan menggunakannya.
c) Simpan duit Dinar emas dan Dirham perak sangat menguntungkan kerana ia tidak susut nilai (kalis inflasi), tidak rosak, diterima oleh semua orang pada setiap zaman di seluruh dunia.
d) Guna duit Dinar Emas dan Dirham perak dapat pahala dan dapat rasai barakahnya kerana kita mengamalkan sunnah Rasulullah saw.
e) Memiliki duit Dinar emas dan Dirham perak menjadikan kita pemurah (suka beri hadiah dan bersedekah) kerana ia mengingatkan kita kepada janji Allah swt kepada orang yang bersedekah iaitu: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir ada seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui”. {Al Baqarah (2) : 261}.
Duit Dinar emas dan Dirham perak amat layak digunakan sebagai hadiah kerana sifatnya yang tahan lama dan tidak rosak bahkan mempunyai nilai bahan (zat) dan nilai tukar (laku ditukar dengan barang lain) tanpa mengira tempat, masa dan zaman kerana ia diterima oleh semua orang kerana ia logam berharga ciptaan Allah swt.
Hal ini menjadikan pemberi dan penerima hadiah sangat istimewa dan tersendiri berbanding dengan kebanyakan orang yang memilih hadiah yang “biasa-biasa” sahaja dan sudah selalu digunakan orang.
Maka, apa tunggu lagi? Jom menabung dan bersedekah dengan Dinar Dirham agar duit kita dapat lebih dimanfaati bahkan lebih diberkati Ilahi.

Sumber: Kelantan Golden Trade