Patuhi Arahan Ini




MELIHAT kepada situasi hari ini, semakin mudah untuk seseorang itu terlibat dengan amalan riba. Bank-bank dan syarikat-syarikat insurans konvensional mengamalkan riba dalam transaksi harian mereka.


Apabila individu mendapatkan pinjaman daripada bank-bank konvensional atau membeli produk-produk insurans daripada syarikat insurans konvensional, secara automatik individu tersebut akan terlibat dengan amalan riba.

Riba jika dilihat dari segi istilah bermaksud mengambil atau mengenakan tambahan ke atas harta atau nilai pokok atau modal secara batil. Ada beberapa pendapat dalam penjelasan makna riba.

Secara umumnya riba boleh disimpulkan sebagai pengambilan tambahan, baik dalam transaksi jual beli mahupun pinjam-meminjam secara batil yang bertentangan dengan prinsip muamalat Islam.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang maksud-Nya: Wahai orang-orang yang beriman,
janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu...(an-Nisaa': 29)
 
Di dalam al-Quran, perkataan riba ini diulang lapan kali di dalam empat surah iaitu surah alBaqarah, ali-'Imran, An-Nisaa' dan Ar-Rum. 

Ini menunjukkan bahawa pengharaman riba itu diturunkan secara berperingkat-peringkat seperti juga pengharaman arak kepada manusia. 

Dalam Surah Ar-Rum ayat ke-39, Allah SWT telah menerangkan unsur negatif yang terdapat dalam riba. Riba itu tidak dapat memberikan apa-apa faedah sekalipun di sisi Allah SWT. 

Sebaliknya, orang yang mengeluarkan zakat itulah yang akan dilipat-gandakan pahalanya serta mendapat keredaan Allah SWT. Inilah teguran pertama daripada Allah SWT kepada pengamal riba.
Riba telah disepakati oleh seluruh ulama akan pengharamannya dan ia juga diharamkan oleh semua agama. Allah SWT melaknat mereka yang melibatkan diri dengan riba.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Rasulullah melaknat pemakan riba, pemberinya, dua orang saksinya dan juru tulisnya". (riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, An Nasa'i dan Ibn Majah)

Untuk maklumat terperinci, sila rujuk pakar muamalat di laman sesawang www.zaharuddin.net

~J Pemilik Emas ~ Dia Bijaksana  J~